Kita dan duit sememangnya sukar dipisahkan.
Ada yang bekerja makan gaji, ada yang berniaga, dan macam-macam sumber pendapatan lain. Persoalannya..
Bagaimana kita menguruskan duit (pendapatan) kita tu?
Harus diingat, rezeki Allah yang bagi dengan cara Dia. Bahagian untuk kita sikit aje, selebihnya untuk orang lain. Kita ni mcm ‘proxy’ @ perantaraan je. Salah? Cuba renung, gaji bulanan (untuk yang makan gaji) kita dapat tiap-tiap hujung bulan tu. Pagi check online, berseri-seri tengok gaji dah masuk. Rezeki kita kan? Tak sampai setengah jam klik sana klik sini, erkk!! Mana habis ‘rezeki’ tu? Ahah! Dah jadi ‘rezeki’ bank, bayar installment keta; jadi rezeki PTPTN, bayar hutang belajar (macam tak habis2 bayar kan?); jadi rezeki tuan rumah, bayar sewa; rezeki makcik kantin, bayar hutang makan yang masuk buku 555 (ok yg ni kes pinggiran); dan senarai tu boleh korang panjangkan sendiri. Betol ke idok??
Boroskah kita?
Ayuh check diri kita. Adakah kita berbelanja berlebihan kepada perkara yang tak perlu? Contohnya perempuan yang kebanyakannya suka sangat ikut trend terkini. Bukan setakat berbelanja di shopping mall, online pun banyak sekarang ni. Semua di hujung jari tak payah bersusah payah meredah jem, hujan panas, parking, Q panjang kat kaunter. Klik klik esok lusa barang sampai depan pintu dengan segala beg tangan, tudung shawl, kasut, dan macam-macam lagi la. Mudah sangat kekdahnya. Check tengok. Almari pun dah sendat. Berapa banyak baju-kasut-handbag yang masih elok dipakai tapi kita tak pakai? Dalam pada tu tambah lagi koleksi. Konsep? Nak berniaga bundle plak in future? Persoalannya, ada ke orang nak beli bila trend dah tak trending?
Tak salah membeli, nak ikut trend, cuma jangan membazir. Ingat, “orang yang membazir adalah saudara syaitan”. Berjimat, simpan sebahagian untuk bekalan kita waktu susah. Kita tak tau bencana bila-bila akan berlaku. Malang tidak berbau kan? Dah malang baru ada bau busuk ke masham? Ingat tak peringatan “Ingat 5 Perkara Sebelum 5 Perkara”? 1 daripada 5 perkara tu ialah - Kaya Sebelum Miskin.
Ada kisah diceritakan dalam Al-Quran dalam surah Yusuf, ayat 46-49.
(Setelah ia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia): "Yusuf, Wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat): tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya".
Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.
Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).
"Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)".
Daripada kisah itu, kita faham bahawa Islam menyeru kita untuk menyimpan bekalan bagi menghadapi kesusahan. Kalaupun bukan untuk kita, untuk anak-anak, kaum keluarga dan sesama manusia.
Kedekutkah kita?
Tidak berkongsi rezeki yang kita peroleh. Biasa dengar tak ada para isteri (sekarang ni suami pun ada) amalkan konsep “duit kau duit aku, duit aku duit akulah” kepada pasangan dia. Perkara ni akan kita bincangkan dalam post lain. Setakat ni, penulis berpendapat, adalah tanggungjawab suami memberikan nafkah hak sewajarnya (tidak kurang dan tidak lebih) kepada isteri. Si isteri pulak, kalau bekerja, janganlah nak genggam rapat pulak duit tu. Kongsilah sewajarnya (jangan kurang dan jangan lebih) sebab dengan redha suami yang beri keizinan kepada kita keluar bekerja, kita peroleh rezeki kan? Tanpa redha suami, Allah pun tak redha, rezeki pun susah. Percayalah cakap den.
Dengan bersedekah, tak akan kurang pun rezeki kita. Macam tak realistik je kan? Ajaibnya kuasa dan nikmat Allah, tak terjangkau dengan akal kita ni. Kisah yang diceritakan oleh Ustaz, kisah Saidatina Aisyah yang berpuasa. Di rumahnya hanya ada 2 keping roti cukup-cukup untuk beliau berbuka puasa. Tiba-tiba beliau didatangi hamba Allah yang kelaparan dan memohon makanan. Dia terus memberikan 2 keping roti yang ada kepada hamba Allah tersebut. Lillahitaala. Tatkala hampir waktu berbuka puasa, rumahnya didatangi hamba Allah lagi. Tetapi kali ini dengan membawa sedulang roti dan kambing bakar. Masha-Allah. Besarnya rahmat Allah gerakkan hamba Allah tersebut untuk memberi sedekah kepada Aisyah. Nampak tak? Aisyah sedekah 2 keping roti, tapi Allah balas dengan sedulang roti berserta kambing bakar lagi. Allah Ya Allah.. Di dunia lagi telah dibalas begitu banyak, apatah lagi di akhirat kelak.
Amal ibadat dan sedekah adalah bekalan yang kita akan bawa di alam barzakh nanti. Ini betul. Rekod amalan kita ditulis oleh malaikat yang tak pernah gagal sebab malaikat hanya patuh kepada Allah. Malaikat pun tak pernah tidur macmam kita manusia ni. Kot-kotla time kita sedekah, time tu la malaikat tertidur dan tak catit amalan kita. Dah rugi dah 1 amalan baik tak rekod. TAK AKAN! Sekecil-kecil amalan malah baru niat dalam hati sekalipun, dah dicatatkan.
Keluarga mungkin iringi kita ke kubur, mendoakan kita diringankan azab kubur. Tapi mungkin doa sekali itu aje. Lepas tu? Pasangan yang ditinggalkan kawen lain, lupa dah nak doa kita ni. Bersyukurlah kalau punya anak-anak yang akan mendoakan kesejahteraan kita. Duit/harta kita tak bawa ke dalam kubur. Malah yang ditinggal di dunia ni pulak jadi rebutan bagi yang hidup. Tak cukup anak-keluarga, seolah-olah berebut dengan Amanah Raya pulak dek kerana prosedur yang berbagai-bagai yang tak difahami.
Apa yang kita ada untuk bekalan kita selama di alam barzakh? Kita tak tau berapa lama kita kat dalam tu sehinggamana dibangkitkan semula nanti. Sedekah kita itulah! Barangkali kita sedekahkan naskah Al-Quran. Selama mana ianya dibaca, kita dapat pahala. Mungkin kita sedekah bagi belanja kepada orang susah secara konsisten. Mereka inilah yang mendoakan kita. Kita sedekahkan ilmu pengetahuan kita samada dalam bentuk pengajaran, buku, blog, video dsb, selama mana ilmu baik itu digunapakai, kita dapat pahala. Ada banyak contoh-contoh lain. Pembaca boleh tambah sendiri.
Duit adalah ujian besar buat manusia. Setuju? (Anda boleh setuju atau tidak setuju dengan penyataan ini)
Kisah yang diceritakan oleh Ustaz. Sorang pakcik ni umurnya dah cecah 80tahun. Hidupnya senang, tapi tidak solat. Bila ditanya “kenapa tak solat dan bersyukur dengan rezeki Allah?” Jawabnya, “walaupun tak solat, aku berduit, banyak harta”. Mungkin dia lupa atau tidak tahu, kemewahan itu ujian. Allah bersifat Al-Rahman (Maha Pengasih). Rezeki Allah bagi kepada semua mengikut usaha masing-masing di dunia tak kira Islam atau bukan. Kita pun nampak berapa ramai bukan Islam yang kaya-raya kan? Kita ni, yang Islam ni, nak kaya di dunia sahaja ke atau nak kaya di Akhirat jugak? Jom tepuk dada tanya iman. Ada ke takde dalam hati kita ni.
Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga yang menyempitkannya. Dan mereka (yang ingkar): bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan dunia itu tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak, kekal berbanding dengan kesenangan hari akhirat.
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".
Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan Ia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Ia Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya.
Panjangnya usia umat Mohammad dikatakan antara 60-70tahun sahaja. Mati tak kira umur. Kita tak tau pun bila kita akan mati. Boleh agak tak berapa baki usia kita untuk kumpulkan duit/harta? Jomlah sama-sama kita menyimpan/menabung untuk:
- Tujuan sendiri. Mungkin kita berhajat nak pegi umrah mahupun menunaikan haji, simpanan untuk perbelanjaan selepas tidak bekerja lagi, pelajaran anak-anak, baiki rumah, dsb.
- Infa’kan kepada orang lain. Cari orang susah yang bertul memerlukan, kita bantu dari segi kewangan, makanan ataupun pakaian. Perbelanjaan sekolah anak-anak mereka. Boleh juga derma/sedekah/wakaf (atau apa saja istilah yang memberi maksud yang sama) kepada Maahad Tahfiz yang mana bakal melahirkan para ilmuan yang akan memberi manfaat kepada masyarakat. InSyaAllah.
Mulai hari ini, tika ini, saat ini, ayuhlah kita tanamkan azam, walaupun Seringgit, kita akan simpan dan infa’kan.
Jom sama-sama kita praktik dan amalkan!
* Post ni adalah pemahaman dan pendapat penulis sendiri yang mana isi utamanya diambil daripada rancangan Al-Kuliyyah 26 Rejab 1436H (14/5/2015) dengan tajuk “Walaupun Seringgit”. Sebarang pembetulan, nasihat atau ulasan pohon pembaca hubungi penulis melalui email. Sama-sama kita perbaiki diri ke arah redha Allah dengan hikmah. Terima kasih.